Pengakap Kelana ialah pengakap bahagian dewasa di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia, terbuka kepada belia yang berusia di antara 17 ½ tahun hingga 25 tahun. Pengakap Kelana memberikan keseronokan, mewujudkan persahabatan dan menawarkan aktiviti yang menarik kepada semua belia yang menyertainya. Aktiviti-aktiviti Kelana dijalankan bersama ahli-ahli yang bersefahaman dan aktif di dalam satu
kumpulan yang di panggil Krew Pengakap Kelana.
Program Krew Kelana menawarkan aktiviti dan keseronokan di serata dunia dari segi fizikal dan cabaran mental, memberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat luar serta menyediakan peluang untuk melancong dalam Malaysia dan juga ke luar Negara. Ahli-ahli Krew Kelana akan diberi tugas untuk menguruskan krew sendiri dan memastikan program Latihan Pengakap Kelana dilaksanakan.
Menyertai Krew Kelana adalah salah satu langkah bijak dan berfaedah dalam hidup. Ia membuka pintu kepada persahabatan baru, memberikan keseronokan, cabaran dan pengalaman berharga yang sukar untuk dilupakan.
Program Kelana adalah berasaskan kepada beberapa aktiviti utama seperti berikut:
1. Perkhidmatan (Service)
2. Sosial (Social)
3. Cabaran luar (Outdoor Adventures)
4. Aktiviti Mental (Mental Challenge)
5. Pembinaan Semangat (Spiritual Development)
Krew Pengakap Kelana boleh mengadakan program sendiri yang boleh dipelbagaikan mengikut minat dan idea ahli-ahli krew. Pengurusan dalaman Krew Kelana adalah terletak di tangan ahli-ahli krew. Pelantikan pihak krew atasan adalah di bawah pemilihan ahli kelana yang menguruskan hubungan antara krew dengan bantuan dan bimbingan daripada Penasihat Kelana.